Terjumpa cerita ni yang bagi aku cukup menarik dan memberi keinsafan pada diri. Jom kita baca.....
Adat orang
berniaga, pasti ada rugi, pasti juga ada untungnya. Namun jika rugi, bukan
alasan untuk kita mengeluh kepada Allah, akan tetapi sentiasalah berdoa agar
kita sentiasa diperbanyakkan rezeki dari Allah. Kisah yang berkisarkan tentang penjual tempe ini,
wajahnya sedih kerana tempe yang dibuat langsung tidak menjadi, dan tidak laku
ketika dijual di pasar.
Memang secara logiknya, memang tiada siapa yang akan membeli
tempe yang belum siap dimasak bukan.
Jom ikuti bagaimana pengakhiran kisah ini
Ada sebuah
kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat
kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan
menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya
sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe
yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang
bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya
yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.
Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa
bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum
masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang
masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari
itu.Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat
akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara
ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Tuhan , aku memohon kepadaMu agar
kacang soya ini menjadi tempe. Amin“
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh
hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan
dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu
menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab
kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin
doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua
tangannya semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata
pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang
soyaku ini kepada tempe, Amin”.
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi
membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan
apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi
sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.
Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi
dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar
sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan
masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya
ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua
tangannya untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku.
Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini
buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang
perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah
menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia
membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya
masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas
dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus
asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak
adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil
jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya
sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru
separuh menjadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah
mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan
sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia
tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada
hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut
hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan
menolongnya.
Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan
dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Tuhan,
berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang
wanita.”Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang
belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini
untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya
terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun
pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan
wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya”Tuhan, saat ini
aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka
sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata
memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira
dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua
tempenya yang belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,
“Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa
anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa.
Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si
ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di
England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan
tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan
rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir
rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…
Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan
apa yang terbaik untuk diri kita.
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian
kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa
yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan
rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
No comments:
Post a Comment